Lilypie 1st Birthday Ticker

Surat untuk Anis Mardihah

بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum sayang Ammi.

Anis sayang, sejujurnya dari hati ammi ini terbuku rasa serba salah yang amat dalam kepada sayang. Hanya Allah yang tahu bertapa setiap hari tiada kekuatan untuk ammi menghantar sayang ke nursery. Pada masa yang sama tiada juga kekuatan untuk menghantar surat resign yang telah siap disampul.

Sayang Ammi,

Janganlah anggap ini pengorbanan, kerana nilainya tiada. Ini hanyalah kekurangan dari seorang ibu yang tidak pernah berhenti berdoa agar sayang sentiasa di dalam lindungan Allah.

Sayang Ammi,

Tiada satu saat di dalam alam ini yang mampu buat ammi lupakan sayang. Tiada satu ruang zarah di dalam alam ini yang mampu buat ammi pergi jauh dari sayang. Setiap nafas ammi untuk melihat Anis membesar dengan segala kesempurnaan. Walaupun sempurna itu juga ammi masih tidak mampu sediakan.




Sayang Ammi,

Allah anugerahkan Anis mata yang paling indah, pandangkan segala kebesaran Allah ya sayang. Allah anugerahkan mulut yang paling menawan, ucapkan segala kebesaran Allah ya sayang.

Jika ammi tiada lagi, bekalkan ammi dengan surah dari suaramu ya sayang. Kerana ibu mu ini masih pincang imannya, masih kering amalnya, masih lalai dalam dunianya.

Jika ammi tiada lagi, bekalkan ammi dengan amalan dari kaki dan tangan mu ya sayang. Kerana ibumu ini masih busuk hatinya, masih angkuh orangnya, masih jauh dari rahmatnya.

Sayang Ammi,

Tahukan..

Anis penyembuh luka hati ammi. Peneman malam sepi ammi, mutiara hati ammi.
 
Related Posts with Thumbnails